IPOH 21 Dis. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk bagi memastikan siasatan terhadap kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim dapat dijalankan secara telus, adil dan saksama.
Jurucakap Majlis Ayahanda-ayahanda Perak (MAAP), Amir Ahmad Saib berkata, Muhammad Adib perlu mendapat pembelaan sama seperti yang diterima Teoh Beng Hock dan A. Kugan menerusi penubuhan suruhanjaya itu.
“Ketika kejadian, Adib juga diperlakukan tanpa belas kasihan, jadi mereka yang membuat onar ini harus bertanggungjawab dan dibawa ke muka pengadilan.
“Kita tidak mahu ada ‘double standard’ di sini. Kita mahu semua ini (siasatan) berjalan dengan lancar, adil dan saksama,” katanya dalam sidang akhbar yang dianjurkan oleh Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat) di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga mahu kerajaan melucutkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang dilihat tidak mampu memainkan peranannya sebagai menteri yang menjaga perpaduan.
“Sebagai Menteri Perpaduan, dia sepatutnya peka dengan keadaan ini dengan menyebarkan kasih sayang terhadap semua kaum. Itu sebenarnya tugas menteri perpaduan dan bukannya bertindak sebagai menteri perpecahan.
“Hari ini mereka mengeluarkan isu-isu berbau perkauman, jadi kita lihat mereka tidak layak langsung memikul tanggungjawab itu dan mendesak kerajaan agar melucutkan jawatan mereka dengan serta-merta,” katanya.
Sementara itu, Presiden Jabat, Amiruddin Mohd. Daud berkata, pihaknya akan memantau secara dekat perkembangan kes berkenaan dan sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil, Jabat akan menemui menteri berkaitan untuk tindakan lanjut.
Katanya, tindakan itu bukannya bertujuan mengapi-apikan sentimen perkauman atau pelampau agama sebaliknya mahu mendapatkan keadilan untuk Muhammad Adib yang maut ketika bertugas.
“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam insiden ini wajib dibawa ke muka pengadilan terutama bagi mereka yang bertindak melampaui batas.
“Malah, mana-mana pemimpin kerajaan yang secara langsung atau tidak menimbulkan ketegangan kaum dalam isu tersebut perlu didakwa di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya. – UTUSAN ONLINE










