MELAKA – Veteran UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka keenam, Tan Sri Rahim Tamby Chik hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama lebih 100 ahli baharu di sini.
Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO menyerahkan borang keahlian kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusuf yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam satu majlis di Ayer Keroh.
Menurut Rahim, keputusan itu dibuat selepas menilai kesamaan parti tersebut dengan kecemerlangan UMNO pada suatu ketika dahulu dalam memperjuangkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
Jelasnya, kini roh (akar umbi) semangat kepemimpin UMNO terpaksa berhijrah ke parti baru berkenaan selepas parti keramat itu tidak dapat dipulihkan lagi dengan pelbagai masalah dalaman termasuk barah rasuah yang kronik.
“Kita harus menerima hakikat bahawa UMNO tidak lagi boleh dipulihkan semula selepas hilang keyakinan rakyat akibat barah rasuah melibatkan kepimpinan teratas, ibarat sebuah kapal besar yang mahu diapungkan tetapi terdapat banyak kebocoran.
“Justeru, roh-roh semangat kecemerlangan UMNO yang masih berbaki ini terpaksa berhijrah bersama parti Bersatu dengan kesamaan iaitu demi memastikan kedudukan orang Melayu, kuasa politik Melayu, agama dan rakyat keseluruhannya terus kukuh,” katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di sini hari ini. – K! ONLINE










