MELAKA 15 Dis. – Bekas Ketua Menteri Melaka yang juga veteran UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengambil keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menyerahkan borang keahliannya dalam satu majlis di Ayer Keroh di sini, sebentar tadi.
Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO bersama lebih 100 ahli baharu menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.
Menurut Abdul Rahim, keputusan itu dibuat selepas menilai kesamaan parti tersebut dengan kecemerlangan UMNO pada suatu ketika dahulu dalam memperjuangkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
Jelasnya, kini roh (akar umbi) semangat kepemimpin UMNO terpaksa berhijrah ke parti baharu itu selepas parti keramat itu tidak dapat dipulihkan lagi dengan pelbagai masalah dalaman termasuk barah rasuah yang kronik.
“Kita harus menerima hakikat bahawa UMNO tidak lagi boleh dipulihkan semula selepas hilang keyakinan rakyat akibat barah rasuah melibatkan kepimpinan teratas, ibarat sebuah kapal besar yang mahu diapungkan tetapi terdapat banyak kebocoran.
“Justeru, roh-roh semangat kecemerlangan UMNO yang masih berbaki ini terpaksa berhijrah bersama parti Bersatu dengan kesamaan iaitu demi memastikan kedudukan orang Melayu, kuasa politik Melayu, agama dan rakyat keseluruhannya terus kukuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ayer Keroh, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










