KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan ke atasnya yang menyiarkan artikel mengandungi tohmahan ke atas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.
Perkembangan tersebut dimaklumkan peguam Md. Yunos Shariff yang mewakili Rafizi, 41, ketika sebutan kes bagi lantikan peguam baharu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Pihak kami baru dilantik oleh anak guam pada 18 Disember lalu bagi menggantikan peguam terdahulu untuk meneruskan perbicaraan di peringkat seterusnya.
“Berkenaan surat representasi tersebut, pihak kami akan mengemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya Jumaat depan,” katanya.
Sehubungan itu, Majistret Umzarul An-Nur Umar menetapkan 28 Januari depan bagi mengetahui perkembangan status representasi tersebut.
Menurutnya, jika ditolak, perbicaraan akan diteruskan pada 27 dan 28 Februari depan.
Pada 25 September lalu, bekas Naib Presiden PKR itu diperintah membela diri atas pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya buktikan kes prima facie.
Beliau dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada pukul 9 pagi, 8 Februari 2016.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Rafizi turut diwakili peguam bela Adi Zulkarnain Zulkafli manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Jaizah Jaafar Sidek. – K ONLINE!










