KOTA BHARU 31 Dis. – Sambutan ambang Tahun Baharu 2019 anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan menampil kelainan apabila alunan bait sajak dan lagu puisi menghiasi malam di pusat bandar ini.
Program Malam Pengucapan Puisi Ambang Tahun Baharu 2019 Sempena Karnival Azam Tahun Baharu yang berlangsung di Dataran Bandaraya MPKB-BRI itu telah dimulakan dengan pelepasan 500 peserta yang mengayuh basikal sejauh 30 kilometer melalui jalan utama di bandar ini sebelum kembali ke dataran.
Seramai tujuh pendeklamator telah mengambil bahagian termasuklah Ketua Biro Utusan Malaysia Kelantan merangkap Presiden Kelab Media Darul Naim (Kemudi), Azran Fitri Rahim yang telah menyampaikan sajak tentang perjuangan kakitangan Utusan Melayu hasil karya Sasterawan Negara, Usman Awang bertajuk ‘Duri dan Api’.
Turut menonjolkan bakat adalah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pelancongan dan Perpaduan Kaum MPKB-BRI, Ruzely Abdullah yang menyampaikan sajak karya Lim Swee Tin bertajuk Hok Sengoti.
Antara pendeklamator lain adalah Penerima Anugerah Budaya Negeri Kelantan 2018, Abdul Hadi Yusof dengan sajak bertajuk Mengemas Amal Menggalas Bekal; Johan Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan 2018, Siti Nur Zafran Zainal Abidin (Pahlawan Tanah Merdeka);Johan Sayembara Deklamasi Puisi Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Zon Timur 2018, Izzat Aieril Shaharil (Ke Pulau Bahasa) dan Johan Deklamasi Puisi MySihat 2017, Siti Nurfatihah Mohd (Kerana Luas Langit Bahasa).
Selain persembahan dikir barat oleh Geng Wok Long, program itu turut diserikan dengan alunan Ulek Bonda yang dipersembahkan penggiat teater, Awang Darus Hamad, lagu puisi daripada pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Ezani Daud dan juga nyanyian dari Cahaya Buskers. – UTUSAN ONLINE










