PANAS berpanjangan. Seperti tajuk album sebuah kumpulan rock popular pada 1996. Namun tajuk itu mengandungi pelbagai genre lagu yang menarik perhatian pendengarnya.
Tajuk itu pula boleh dikaitkan dengan situasi semasa terutama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kerana apa, isu tersebut tiada kesudahan sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
Golongan muda yang majoriti mengundi PH sememangnya terpengaruh dengan janji tentang isu PTPTN dan berharap dapat diselesaikan dengan cara tanpa bayaran balik atau lebih tepat percuma!.
Pelbagai usaha dilakukan dengan antara janji manifesto yang memberi pengecualian bayaran balik kepada mereka berpendapatan RM4,000 ke bawah. Bagaimanapun janji itu berlalu pergi kerana pemimpin kerajaan mahukan peminjam terbabit menjelaskan pinjaman mereka kerana hutang wajib dibayar.
Ketika pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bayaran balik pinjaman itu dikenakan bagi mereka berpendapatan RM1,100 ke atas dengan kadar dua hingga 15 peratus atau serendah RM40 mengikut tangga gaji peminjam.
Desakan pelbagai pihak yang mahukan jumlah pendapatan itu dikaji semula dan akhirnya kerajaan mencari kaedah lain. Semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menetapkan potongan oleh majikan itu akan dilaksanakan pada Januari 2019 dengan pendapatan gaji peminjam meningkat sedikit iaitu RM2,000 sebulan.
Namun bantahan juga diterima bukan sahaja peminjam tetapi juga majikan walaupun mereka mendapat insentif.
Nampaknya suara peminjam akhirnya didengari apabila Menteri Pelajaran, Dr. Maszlee Malik menyatakan sistem bayaran balik pinjaman fleksibel (ICLR) untuk pinjaman itu ditangguhkan buat masa ini.
Ada cara boleh diselesaikan dengan situasi menang-menang. Peminjam PTPTN yang konsisten bayar tanpa culas walaupun sebulan wajar dikekalkan kadar lama kerana mereka tidak pernah tertinggal membayarnya.
Kenakan kadar baharu kepada peminjam culas, yang buat-buat lupa atau dapat surat dibuang terus ke tong sampah. Golongan inilah liat membayar. Jangan kerana golongan ini enggan, habis mereka yang setia membayar terpalit sama.
Semoga langkah penangguhan sementara yang diumumkan Menteri Pendidikan itu akan mencari jalan terbaik untuk selesaikan segera jika tidak mahu antara janji manifesto PH itu menjadi ‘panas berpanjangan’.










