JOHOR BAHRU 28 Dis. – Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) lima mengadakan program Temashor selama lima bulan bermula hari ini sehingga 10 Mei 2019 yang membabitkan 10 buah daerah di seluruh negeri.
Presiden MBNJ, Md. Saleeheen Mohamad berkata, sebanyak 22 buah pertubuhan belia di bawah MBNJ akan turun ke 30 lokasi terpilih untuk menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan membabitkan kerja-kerja membaik pulih, keceriaan dan pembersihan kawasan.
“Dijangka seramai 10,000 belia anak muda Johor yang akan terlibat dalam program ini. Program Temashor ini akan dijalankan di peringkat daerah bermula di daerah Kota Tinggi yang membabitkan dua buah rumah kediaman di Kampung Sungai Telor dan dua Tanah perkuburan Islam di Felda Linggiu dan Gugusan Felda Waha.
“Selain itu, Temashor juga akan melakukan kerja-kerja kesukarelawanan di tokong dan kuil, pusat tahfiz dan ilmu, masjid dan surau, rumah anak yatim serta pusat kegiatan masyarakat mengikut lokasi yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mulai Januari sehingga Mei pula, Temashor akan ke Kluang, Segamat, Pontian, Muar, Mersing, Tangkak, Batu Pahat, Kulai dan penutup di Johor Bahru.
Melalui program tu katanya, usaha mencungkil potensi anak muda Bangsa Johor agar sentiasa sensitif terhadap persekitaran dapat digandakan selain menyedarkan belia supaya ambil tahu dan peduli mengenai komuniti yang berteraskan muafakat.
MBNJ amat berharap agar agensi kerajaan di peringkat daerah dapat memberi kerjasama agar pelaksanaan program itu berjalan lancar dan pada masa sama mengalu-alukan penglibatan dan sumbangan syarikat swasta dan perseorangan yang berminat.
“Tunku Mahlota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Penaung Diraja MBNJ telah memberi perkenan mengenai program ini dan dijangkakan beliau akan mencemar duli berangkat ke program Temashor di semua daerah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










