KUALA LUMPUR – Kehadiran orang ramai merebut peluang membayar zakat pada saat akhir di Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjangkakan sasaran kutipan zakat sebanyak RM650 juta di wilayah Persekutuan akan mampu tercapai.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, beliau positif sasaran itu akan dapat dikecapi susulan orang ramai mengambil peluang membayar zakat terutama selepas hebahan lanjutan waktu operasi bermula 26 Disember hingga semalam.
“Sempena program ‘Countdown YEZ’ (Year End Zakat) PPZ-MAIWP telah menyediakan perkhidmatan 11 kaunter bayaran yang beroperasi sehingga pukul 9 malam serta turut menyediakan kaunter Zakat Bergerak di Shamelin Perkasa sehingga pukul 12 tengah malam.
“Bagaimanapun, jumlah kutipan zakat secara keseluruhan tahun 2018 hanya akan diumumkan pada hujung Januari tahun hadapan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat PPZ-MAIWP di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Wan Shakiroh Wan Omar, 37, berkata, inisiatif PPZ-MAIWP memanjangkan waktu operasi kaunter bayaran zakat banyak membantu memudahkan pembayar zakat yang sibuk bekerja.
“Walaupun boleh membuat bayaran melalui internet, saya memilih untuk terus ke kaunter bagi membuat bayaran zakat pendapatan kerana layanan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kakitangan PPZ-MAIWP sungguh cekap,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pensyarah, Samsul Rohaizad Jemonar, 47, pula berkata, beliau memilih untuk membuat bayaran zakat pada saat akhir bagi mendapatkan tawaran yang menarik menjelang hujung tahun yang ditawarkan oleh PPZ-MAIWP.
“Selain dapat menikmati rebat cukai pendapatan e-filing tahun 2019, saya selesa membuat pembayaran di ibu pejabat PPZ-MAIWP dan berasa yakin dengan sistem pengagihan zakat yang diamalkan di sini,” ujarnya. – K! ONLINE









