SEREMBAN 20 Dis. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh lagi berasa selesa selepas kaji selidik menunjukkan sokongan terhadap gabungan parti itu menurun.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, usaha perlu dilakukan bagi memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada PH seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Saya yakin kita tidak boleh diam kerana kita kena pastikan sokongan kembali pulih. Saya minta rakan-rakan dalam PH untuk bekerja lebih keras.
“Kalau kajian itu tidak betul pun, kita mahu supaya sokongan sentiasa berada di hati rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang Bersama Penaja Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di sini hari ini.
Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli semalam berkata, kaji selidik yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan, INVOKE Malaysia mendapati populariti PH menurun dan rakyat mula mempersoalkan pentadbiran kerajaan baharu itu.
Ditanya mengenai sokongan terhadap PH Negeri Sembilan, Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata, walaupun tidak ada kajian dilakukan berhubung perkara itu, beliau yakin rakyat di negeri ini masih bersama PH.
“Kalau berkurangan, kita akan berusaha, pastikan pulih dalam masa beberapa ketika. Saya sendiri akan turut berusaha supaya rakyat Negeri Sembilan terus menyokong kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE










