SHAH ALAM – Polis menafikan dakwaan bahawa anggotanya bertindak kasar ke atas Pengerusi Jaringan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah, sehingga menyebabkan aktivis berkenaan jatuh ketika dibawa untuk proses reman di Mahkamah Klang seperti ditularkan semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati Azwanddin tersungkur akibat tersadung dan terlanggar pasu bunga ketika melambai tangan kepada penyokongnya yang hadir di mahkamah tersebut.
Katanya, sewaktu kejadian juga aktivis berkenaan berkongsi gari dengan tahanan lain yang telah berjalan lalu ketika dia sedang melambai ke arah penyokongnya.
“Semasa dibawa ke mahkamah semalam Azwanddin digari di tangan kanannya bersama dua tahanan lain dan beliau telah terjatuh ketika dalam perjalanan masuk bangunan mahkamah
selepas turun daripada kenderaan polis.
“Sejurus itu, anggota yang bertugas bertindak membantu mengangkat beliau semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Shamsul Amar berkata, peguam, Datuk Imran Tamrin yang mewakili Azwanddin turut mengeluarkan kenyataan media bahawa anak guamnya telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebar atau memutar belitkan insiden ini kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkitkan keresahan masyarakat.
“Penyebaran berita yang palsu boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 atau Akta Hasutan 1948,” tegas beliau.
Semalam Kosmo! melaporkan Azwanddin direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan kenyataan provokasinya semasa berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P. Waytha Moorthy di Dataran Seni Klang dekat sini, Selasa lalu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Nik Nur Amalina Mat Zaidan kira-kira pukul 10.15 pagi di Mahkamah Majistret Klang. – K! ONLINE










