KOTA BHARU 19 Dis. – Bagaikan orang kenamaan (VIP), kumpulan penunggang ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ mendapat layanan ‘istimewa’ apabila perjalanan mereka diiring pasukan keselamatan sebaik melepasi Lahore, Pakistan.
Ketua kumpulan, Diami Yusoff, 60, berkata, pasukan komando lengkap bersenjata AK-47 yang menunggang motosikal turut mengawal semasa mereka singgah di bandar Quetta di negeri Balochistan untuk mendapatkan Sijil Tanpa Bantahan (NOC) yang diperlukan sebelum boleh meneruskan perjalanan ke Iran.
Diami berkata, buat pertama kali juga dalam misi ini mereka terpaksa ‘berkurung’ selama empat hari dalam hotel penginapan semata-mata menunggu NOC dikeluarkan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Puak, Kerajaan Balochistan.
“Kami dapat layanan ‘VIP’ sebaik melintas daerah Sakar selepas Lahore apabila trak tentera berada di depan dan belakang, kemudian seramai 10 anggota komando pula mengiringi kami di Quetta, kawalan keselamatan yang ketat diberikan kepada orang luar kerana kawasan ini berdekatan dengan sempadan Afghanistan.
“Walaupun nampak macam ‘ganas’ tetapi mereka mesra dengan kami, memang terasa macam VIP kerana polis dan tentera akan iring kami sehingga sampai ke sempadan Iran,”katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Menurutnya, dia bersama dua lagi rakan, Mohamad Zalani Zulkifkli, 64, dan Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, keluar dari bandar Quetta semalam dan sebaik tiba di Dalbandin malam tadi mereka terkejut apabila pos kawalan tentera di situ tiba-tiba ditutup.
“Tentera tutup laluan di depan dan belakang kami menyebabkan jalan di situ ‘jem’ sekejap, rupa-rupanya mereka mahu adakan upacara khas termasuk memberi tabik hormat semata-mata kerana mahu menyampaikan hadiah topi daripada Kerajaan Pakistan kepada kami,” katanya.
Diami berkata, hari ini masuk hari ke 47 misi mereka dan sudah melepasi perjalanan lebih 8,000 kilometer. Mereka bersama lapan anggota pasukan keselamatan Pakistan yang menaiki dua kenderaan pacuan empat roda kini dalam perjalanan menuju ke Taftan iaitu bandar sempadan Pakistan dan Iran. UTUSAN ONLINE










