KUALA LUMPUR 31 Dis. – ‘Not Emas Harapan’ yang diinspirasikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad direka khas sebagai pengiktirafan untuk perjuangan dan perkhidmatan beliau kepada negara selama ini.
Poh Kong Holdings Berhad (Poh Kong) dalam satu kenyataan memberitahu, Dr. Mahathir umpama emas kerana kasih sayang dan semangat juangnya terhadap tanah air.
“Poh Kong mengabdikan perjuangan Dr. Mahathir dalam bentuk not emas untuk menyuntik semangat rakyat Malaysia menjadikan tokoh ini sebagai inspirasi.
“Not emas ini juga adalah lambang patriotisme seorang pemimpin yang kembali berkhidmat sebagai perdana menteri walaupun telah mengumumkan untuk bersara,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, ‘Not Emas Harapan’ memaparkan tandatangan, potret Dr. Mahathir, binaan simbolik Malaysia, Jalur Gemilang dan bunga kebangsaan.
“RM30 daripada jualan akan disumbangkan ke dalam Tabung Harapan dan Poh Kong menyasarkan kutipan kira-kira RM1 juta bagi tujuan itu,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE










