Pesara kerajaan rugi RM55,000 ditipu sindiket scam - Utusan Malaysia

Pesara kerajaan rugi RM55,000 ditipu sindiket scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang pesara kerajaan wanita mengalami kerugiaan sebanyak RM55,000 selepas ditipu satu sindiket scam yang menyamar sebagai pekerja pejabat pos dan pegawai polis dua minggu lalu.

Mangsa, Choong Fan Cheng, 69, berkata, dia dihubungi seseoang yang mengaku bekerja sebegai pekerja Pos Malaysia pada 8 Disember lalu dan memberitahu ada bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad kredit miliknya yang tidak dituntut. 

“Saya menyatakan kepadanya kad pengenalan ada bersama dan saya juga tidak pernah memohon kad kredit di mana-mana bank. 

“Lelaki tersebut meminta saya membuat laporan polis sebelum dia menyambungkan talian kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Terengganu,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Impian di sini hari ini. 

Menurutnya, lelaki yang menyamar pegawai polis tersebut memberitahu dia telah terlibat dengan satu kes penggubahan wang haram sebelum meminta menyerahkan semua wang yang ada di dalam akaun. 

“Dia juga mengugut untuk membekukan akaun tersebut sekiranya semua wang tersebut tidak dipindahkan ke satu akaun bank atas nama Kang Swee Leng. 

“Lelaki itu turut mengarah saya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara ini sebelum urusan pemindahan wang selesai,” katanya. 

Tambah Fan Cheng, akur dengan kehendak lelaki berkenaan, dia memindahkan wang melalui dua transaksi masing-masing sebanyak RM25,000 dan RM23,000 ke akaun yang diberikan. 

“Lelaki tersebut juga meminta saya membayar wang jaminan RM30,000 apabila saya tidak dapat hadir ke mahkamah untuk proses perbicaraan kes. 

“Saya menyatakan tidak dapat hadir dan sekali lagi saya diminta memindahkan wang untuk menyelesaikan urusan jaminan. Sekali lagi saya memindahkan wang sebanyak RM7,000 ke akaun yang diberikan,” ujarnya sebak. 

Katanya, selepas semua urusan pemindahan selesai, dia cuba menghubungi nombor telefon tersebut namun gagal. 

“Saya mengesyaki telah ditipu sindiket scam sebelum datang ke Balai Polis Sungai Senam untuk membuat laporan polis pada 13 Disember lalu,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan laporan polis dibuat dan menyatakan pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN