Perunding bebas analisis tangguh kenaikan tol - Utusan Malaysia

Perunding bebas analisis tangguh kenaikan tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kementerian Kerja Raya akan melantik juru perunding audit bebas bertauliah bagi membantu kerajaan dalam menganalisis data serta cadangan berhubung keputusan penangguhan kenaikan kadar tol lebuh raya awal Januari depan.

BARU BIAN
BARU BIAN 

Menterinya, Baru Bian berkata, ini termasuk mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol secara jangka pendek, sederhana dan panjang.

Menurut beliau, hasil kajian itu juga dijangka akan dibentangkan untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri pada Mei tahun depan.

“Kementerian menyambut baik pengumuman daripada Kementerian Kewangan berkenaan penangguhan kenaikan tol bagi tahun 2019 dan pemansuhan tol lorong motosikal mulai 1 Januari depan.

“Ini adalah selari dengan syor kementerian ini yang dibentang semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Disember lalu serta pengumuman Belanjawan 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, cadangan penangguhan kadar tol itu juga dilihat sebagai kaedah berterusan kerajaan bagi mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat.

Tambah beliau, kerajaan juga sentiasa berusaha mengurangkan bebanan bayaran tol sekali gus menyifatkan langkah berkenaan hanya boleh dilaksanakan setelah kewangan kerajaan berada pada tahap stabil dan mengizinkan.

“Sehubungan itu, Jemaah Menteri pada 31 Oktober lalu telah menimbangkan hala tuju industri lebuh raya bertol di negara ini dan bersetuju memutuskan supaya Kementerian Kerja Raya mengemukakan cadangan mekanisme terbaik untuk mencapai matlamat tersebut dalam tempoh enam bulan akan datang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×