Perpustakaan mini komuniti Orang Asli - Utusan Malaysia

Perpustakaan mini komuniti Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLEH dikatakan majoriti kanak-kanak Orang Asli kurang terdedah dengan budaya membaca. Perkara itu berlaku kerana tiada dorongan dan sokongan daripada ibu bapa masing-masing.

Ditambah dengan lokasi penempatan mereka yang jauh dari bandar atau pusat tumpuan ramai menyukarkan komuniti itu untuk mendapatkan bahan bacaan sesuai dan terkini.

Tidak hairanlah rata-rata golongan tersebut dilihat kurang keyakinan dan sering berasa rendah diri. Hal ini menjadi antara punca penglibatan anak-anak Orang Asli dalam konteks pendidikan serta kokurikulum kurang memberangsangkan.

Sehubungan itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berganding bahu bagi menangani permasalahan tersebut agar mereka tidak terus tercicir dalam pembangunan negara.

Sebagai permulaan, kedua-dua pihak itu melaksanakan Projek Perpustakaan Mini dan Pemantapan Orang Asli di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Dengkil, Selangor.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu menyantuni seramai 40 kanak-kanak dan 370 penerima manfaat masyarakat di kawasan berkenaan.

Ia turut mendapat sokongan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, projek itu merupakan usaha penting bagi menyemai minat membaca dalam kalangan Orang Asli di samping mewujudkan rasa tanggungjawab terhadap kewujudan perpustakaan mini.

“Objektif utama projek perpustakaan mini ini adalah untuk menyuntik sifat suka membaca dalam kalangan Orang Asli agar mereka sentiasa menjadikan perpustakaan sebagai platform mendapatkan ilmu pengetahuan.

“IRM turut mengambil kira aspek-aspek kepentingan ilmu asas seperti kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira sebagai langkah awal bagi mereka terus maju ke hadapan dalam menuntut ilmu pada masa akan datang,” katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Program Domestik IRM, Kamarul Halim Sakrani; Tok Batin Kampung Bukit Tampoi, Changkek a/l Dabal dan Guru Besar SK Bukit Tampoi, Siti Saadah Mukrim.

Pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi motivasi bersama Ikon Orang Asli IRM, Masni a/p Mat Don turut diadakan bagi meningkatkan keyakinan dan jati diri serta menerapkan elemen menghargai diri sendiri dalam kalangan kanak-kanak.

Saranan itu turut selari dengan ucapan Pengarah Pusat Pembangunan kemahiran Insaniah USIM, Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail ketika merasmikan projek tersebut di Dewan Orang Ramai, Kampung Orang Asli Bukit Tampoi baru-baru ini.

Beliau berkata, projek tersebut dilihat istimewa dan penting bagi golongan Orang Asli jika ingin berjaya pada masa depan kerana budaya membaca adalah kunci kepada ilmu pengetahuan.

“Saya percaya jika projek perpustakaan mini itu diurus dan dikendali dengan sebaik mungkin, ia bakal menjadi pemangkin kepada pemupukan budaya membaca dalam kalangan komuniti Orang Asli.

“Malah, besar kemungkinan akan memberi rangsangan kepada komuniti Orang Asli di kawasan lain untuk mengikut jejak langkah sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×