KLANG 26 Dis. – Seorang lelaki ditahan semasa Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P.Waytha Moorthy yang diadakan di Dataran Seni Klang semalam.
Lelaki berusi 23 tahun itu ditahan dihadapan terowong pejalan kaki di Jalan Melayu di sini kira-kira pukul 5.42 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati lelaki terbabit telah menyembunyikan sebatang kayu dibalut pelekat warna putih dalam baju di bahagian belakang badan.
“Oleh demikian, kita telah menahan suspek semalam ketika perhimpunan sedang berlangsung dan direman selama tiga hari bermula hari ini.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Dan Senjata Merbahaya 1969,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan polis berhubung perhimpunan semalam termasuk melibatkan pemuda tersebut.
“Selain itu, dua laporan diterima berkenaan pelanggaran syarat perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 sementara selebihnya kesalahan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Oleh demikian, kita akan memanggil penganjur dalam masa terdekat untuk diambil keterangan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










