JOHOR BAHRU 7 Dis. – Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa terdapat percubaan daripada seorang individu untuk menjatuhkan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar.
Tunku Mahkota Johor itu bagaimanapun tidak menyebut siapa tetapi individu terbabit cuba melobi seorang daripada Exco kerajaan negeri untuk menjawat jawatan itu.
“Anda bukan Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi mempunyai Menteri Besar yang akan menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?
“Anda melobi seorang daripada Exco kami untuk menjadi MB (Menteri Besar). Kami tahu itu. Ini bukan lagi tahun 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” tulisnya dalam status terbaharu dalam akaun Twitter milik baginda, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin dalam blog miliknya mendesak Osman menjelaskan mengenai pertukaran status Pulau Kukup dan jika gagal memberi penjelasan, adalah lebih baik beliau letak jawatan.
A. Kadir yang terkenal dengan sikap kritikalnya kepada Raja-raja Melayu turut memberitahu, kebimbangan beliau terhadap pengambilan tanah negeri oleh Istana Johor telah disuarakan sebelum ini tetapi Osman menegaskan itu tidak berlaku.
Kelmarin Tunku Ismail berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan dan langkah itu supaya kawasan itu lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam pula diluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Pulau Kukup.










