Penunggang motosikal maut selepas rempuh lori - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut selepas rempuh lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 27 Dis. – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori tangki yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 106.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Sungai Petani, dekat sini hari ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Hafiz Mat, 28, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kenderaan berat tersebut berhenti di lorong kecemasan kerana tayar belakang sebelah kirinya yang pecah.

“Mangsa yang menunggang motosikal di lorong kecemasan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori tangki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kata beliau, akibat rempuhan itu, mangsa yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

“Pemandu lori tangki berusia 48 tahun itu namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×