ALOR SETAR – Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang sebuah lori tangki yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 106.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Sungai Petani dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Hafiz Mat, 28, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kenderaan berat tersebut berhenti di lorong kecemasan kerana tayar belakang sebelah kiri pecah.
“Mangsa yang menunggang motosikal di lorong kecemasan bagaimanapun gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori tangki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, akibat rempuhan yang kuat itu, pekerja kilang yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.
“Pemandu lori tangki berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










