RAWANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah lori di simpang tiga Rawang Industri park, Jalan Rawang – Batu Arang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Mohammed Naguib Mohd. Jumit berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika lori berkenaan sedang menunggu di lampu isyarat untuk membelok ke kanan.
“Namun, mangsa yang datang dari arah belakang telah berhenti di hadapan lori berkenaan dan pemandu lori berkenaan, Jasmudin Kasaban, 49, tidak menyedari mangsa berada di hadapannya sebelum melanggar mangsa.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kerana kecederaan parah pada kepala dan dada sementara pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, motosikal mangsa jenis Yamaha LC mengalami kerosakan teruk manakala lori berkenaan hanya mengalami kerosakan pada bahagian bumper hadapan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan membahayakan orang awam. – K! ONLINE










