Saya ingin bertanya tentang sambutan Maulidur Rasul. Apakah amalan tersebut pernah dilakukan ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup?
Ismail, Shah Alam.
UKE: Sambutan Maulidur Rasul bertujuan memuliakan Nabi SAW dan bentuk memuliakan Nabi SAW adalah sangat luas dan pelbagai iaitu selagi mana tidak ada hadis atau nas yang mengharamkannya maka haruslah dilakukan apa-apa bentuk kemuliaan terhadap Nabi SAW.
Banyak kemuliaan yang dibuat untuk Nabi SAW sebagai tanda kasih kepada Baginda tetapi tidak pula dipertikai sebaliknya sambutan maulid pula yang menjadi pertikaian. Sedangkan dalam sambutan maulid Nabi SAW ada bacaan al-Quran, pengkisahan tentang Nabi SAW, berselawat dan diadakan jamuan makan.
Di manakah salahnya jika perkara-perkara itu dilakukan sedangkan ada hadis yang menyuruh menjamu makan, ada nas menyuruh membaca al-Quran dan ada ayat menyuruh berselawat ke atas Nabi SAW.
Dalil untuk memuliakan Nabi SAW ialah: Nabi SAW menyatakan kegembiraannya dengan hari kelahirannya iaitu hari Isnin dan Baginda berpuasa pada hari Isnin.
Maksudnya: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.”(Riwayat Muslim, no. 1162).
Kedua: Walaupun Nabi SAW tidak menyambut seperti yang kita sambut sekarang tapi harus diingat jika ia perbuatan baik maka ada pahala untuk dilakukan berdasarkan hadis: “Barangsiapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala daripada orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”. (Riwayat Muslim, no. 1017)
Ketiga : Allah berfirman dan bersumpah menggunakan umur Nabi SAW yang mana menunjukkan kemuliaan pada umur Nabi SAW seperti firman Allah SAWT dalam surah al- Hijr: 72.
Jika Allah memuliakan umur Nabi SAW kenapa kita tidak menunjukkan kegembiraan dengan tarikh kelahiran Nabi SAW yang membawa rahmat kepada sekalian alam.
Maka sambutlah sambutan Maulidur Rasul ini dengan cara yang betul dan tidak melakukan amalan yang bertentangan dengan syarak. Jika ada yang tidak mahu menyambutnya maka tidaklah menjadi hal kepadanya. Tetapi janganlah dituduh dengan pelbagai tuduhan terhadap golongan yang menyambutnya.
Hormatilah pendapat orang lain dan ia perkara khilaf. Jika hendak dikira perkara khilaf sampai bila pun tidak akan selesai. Masing-masing ada hujah dan hormatilah hujah masing-masing tanpa melabel kepada mana-mana golongan.










