Penjaga kaunter pusat urut disamun tiga lelaki - Utusan Malaysia

Penjaga kaunter pusat urut disamun tiga lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang penjaga kaunter sebuah pusat urut cedera selepas dipukul dan disamun tiga lelaki  bersenjatakan parang dan besi dalam satu kejadian di sebuah premis di Jalan Setia Prima A, Seksyen U13, Setia Alam di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu cedera di muka dan patah beberapa batang gigi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Nek Zaidi Zakaria berkata, perbuatan ketiga-tiga suspek bersenjata parang dan besi itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam premis terbabit.

“Berdasarkan CCTV itu mendapati seorang suspek akan berpura-pura menjadi pelanggan sebelum dua lagi rakannya menyerbu masuk ke dalam premis tersebut dan bertindak memukul serta menyamun mangsa yang berada di kaunter.

“Akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahagian muka dengan suspek turut melarikan sebuah telefon bimbit milik mangsa serta wang tunai berjumlah RM200,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kejadian itu tular apabila sebuah video berdurasi satu minit 44 saat dimuat turun dalam sebuah laman sosial Facebook.

Klip video itu telah ditonton hampir 57,000 pengguna media sosial sejak ia ditularkan semalam telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada netizen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×