KUANTAN 21 Dis. – Helah terbaharu sindiket Macau Scam menyamar sebagai wakil Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan anggota polis memerangkap seorang peniaga wanita di sini sehingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM18,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, peniaga berusia 53 tahun itu terperdaya selepas didakwa mempunyai kes polis sehingga mendorongnya memasukkan wang ke dalam akaun diberikan oleh sindiket berkenaan.

Menurutnya, mangsa pada mulanya dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil TM dan memaklumkan terdapat dua talian nombor telefon rumahnya yang sama.
“Mangsa kemudian dimaklumkan kemungkinan ada pihak menyalahgunakan butiran peribadinya sebelum talian disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ yang mengatakan nombor kad pengenalannya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.
“Mangsa diminta memasukkan semua jumlah wang yang ada dalam simpanannya untuk menyelesaikan kes berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, berikutan itu, mangsa memasukkan RM18,450 ke dalam akaun diberikan dan hanya menyedari ditipu setelah gagal berhubung dengan lelaki berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang peniaga di Bandar Jengka, Maran dekat sini kerugian RM15,929 selepas ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud menggunakan aplikasi WhatsApp.
Dalam kejadian pada 14 Disember lalu itu, katanya, peniaga wanita berusia 40 tahun itu menerima kiriman WhatsApp mempromosikan pinjaman wang daripada sebuah syarikat sebelum dia menghantar salinan beberapa dokumen peribadi ke nombor yang sama.
“Mangsa dikatakan layak untuk mendapat pinjaman sebanyak RM50,000 namun perlu membayar deposit untuk tujuan membuka akaun bank. Mangsa membuat beberapa kali pindahan wang ke dalam dua akaun bank yang berbeza menjadikan jumlah keseluruhan RM15,929,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.










