Penetapan harga petrol secara mingguan diputuskan Rabu ini - Utusan Malaysia

Penetapan harga petrol secara mingguan diputuskan Rabu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Penetapan harga runcit produk petroleum akan diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari Rabu ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat kabinet itu antara lain bagi mempertimbangkan permintaan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan.

Menurutnya, jemaah menteri juga akan meneliti semula kadar margin pengusaha stesen 
minyak sebagai salah satu komponen di bawah formula Mekanisme Harga Automatik 
(APM) yang digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum buat masa ini.

 “Perdana Menteri akan bertemu dengan PDAM dalam masa terdekat.

“Pertimbangan dan persetujuan dalam mesyuarat jemaah menteri akan diperoleh ke atas permintaan PDAM dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun depan.

Menurutnya, buat masa ini, harga runcit petrol masing-masing dikekalkan pada paras RM2.50 seliter bagi RON97, RM2.20 seliter (RON95) dan RM2.18 seliter (diesel).

Kosmo! pada 25 Disember lalu melaporkan Kementerian Kewangan akan melaksanakan penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan pada 1 Januari ini.

Sistem apungan mingguan itu bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN