KUALA LUMPUR 27 Dis. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan insiden pendaftaran palsu kad sim tidak berulang.

SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, antara langkah diambil termasuk pelaksanaan pengauditan ke atas pendaftaran data oleh penyedia perkhidmatan dan ejen mereka.
Pada masa sama, SKMM memberitahu, Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Akhir untuk Perkhidmatan Selular Awam Prabayar turut dikemaskini pada pertengahan 2017 untuk kepentingan pengguna.
Menurut kenyataan itu, tindakan mengemaskini garis panduan itu adalah perlu bertujuan memperkukuhkan proses pendaftaran bagi menangani isu pendaftaran palsu, keselamatan dan integriti data.
“Di bawah garis panduan itu, pihak penyedia perkhidmatan dan ejen mereka dikehendaki memastikan maklumat yang diberikan oleh pengguna didaftarkan menggunakan platform automatik yang terjamin.
“Di samping itu, mereka juga tidak boleh mendaftarkan mana-mana pengguna yang berumur 12 tahun ke bawah dan pengguna yang mempunyai lebih daripada lima kad sim setiap seorang,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Laporan eksklusif Utusan Malaysia hari ini menyatakan sebuah kedai aksesori telekomunikasi di Kelantan dikesan menawarkan khidmat pajak MyKad kepada golongan kesempitan wang.
Menurut laporan itu, pengusaha premis berkenaan yang sudah bergerak aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu, dipercayai mengambil kesempatan dengan memanipulasi maklumat pemilik MyKad untuk tujuan pendaftaran palsu kad sim. – UTUSAN ONLINE










