KLANG – Tindakan berani seorang lelaki mencuri sebuah kanopi gerai nasi lemak di tepi jalan Persiaran Hamzah Alang, Rabu lalu akhirnya memakan diri selepas berjaya ditahan semalam.
Suspek berusia 24 tahun itu diberkas pukul 8 malam di Taman Sentosa, Kapar di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, perbuatan suspek itu berjaya dirakam oleh seorang kenalan pemillik kanopi terbabit.
Katanya, pemilik kanopi telah berniaga nasi lemak di kawasan tersebut selama dua minggu.
“Pemilik tersebut kemudiannya membuat laporan polis semalam dengan kerugian dianggarkan RM150.
“Bertindak atas laporan tersebut, polis kemudiannya berjaya menahan suspek yang ketika itu sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss di Taman Sentosa, Kapar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nurulhuda berkata, siasatan lanjut ke atas suspek telah telah menemui semula kanopi yang telah dicurinya dengan pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk dadah dan mencuri.
Jelas beliau, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Ahad ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Terdahulu, klip video berdurasi enam saat memaparkan seorang lelaki menaiki sebuah motosikal telah melarikan sebuah kanopi yang telah berjaya dirakam rakan pemilik khemah terbabit.
Klip video berkenaan juga telah ditonton hampir 1,000 pengguna media sosial sejak ia ditularkan kelmarin telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada netizen. – K! ONLINE










