Pemimpin UMNO sertai Bersatu tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU-15 - Utusan Malaysia

Pemimpin UMNO sertai Bersatu tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Dis.- Mana-mana bekas pemimpin UMNO yang diterima memasuki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh memegang sebarang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelakan, syarat baharu itu diletakkan bagi menguji keikhlasan mereka dalam membuang budaya UMNO terhadap diri masing-masing.

Menurut beliau, Bersatu tidak mudah menerima bekas pemimpin UMNO tetapi sebaliknya meletakkan syarat-syarat termasuk mereka terlibat mesti keluar parti itu dan menjadi ahli bebas terlebih dahulu.

“(Mereka perlu menjadi) Sebagai bebas serta secara ikhlas sokong Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu. Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai kumpulan bekas UMNO. Hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod akan dikaji dengan teliti.

“Kita akan tentukan mereka tidak diberi peluang mengembang fahaman dan cara-cara mereka iaitu cara UMNO. Bersatu bersih dan kita akan tentukan ia terus bersih. Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan berkerjasama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, proses tindakan undang-undang terhadap pemimpin terdahulu atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah mereka akan mengambil masa.

Beliau menegaskan, untuk melihat kerajaan memerintah mengikut undang-undang, kelewatan proses seumpama itu perlu diterima. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×