ISLAM menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha, sebaliknya melarang daripada bersikap malas serta meminta-minta.
Larangan yang banyak disebutkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah itu adalah bertujuan menegah umat Islam daripada menjatuhkan maruah diri dengan bersikap malas dan hanya mengharapkan simpati serta ihsan orang lain.
Rasulullah mengingatkan tentang perkara ini dalam sabda bermaksud: “Tangan di atas (memberi) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (menerima). Dahulukan tanggunganmu. Dan sebaik-sebaik sedekah adalah yang lebih daripada keperluan tanggungannya. Sesiapa menjaga kehormatan dirinya (daripada meminta-minta) maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya dan sesiapa merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.” – Riwayat Bukhari
Bahkan, Baginda turut memberi amaran seseorang yang malas berusaha dan hidup meminta-minta ihsan orang lain akan dibangkitkan di akhirat dalam keadaan tanpa daging pada wajahnya.
Ini ditegaskan dalam sebuah hadis riwayat Abdullah Umar r.a., bahawa Nabi bersabda maksudnya: “Seseorang yang sentiasa meminta-minta kepada orang lain akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.” – Riwayat Bukhari
Sehubungan itu, Islam menganjurkan umatnya untuk berusaha dan mencari nafkah dengan pelbagai cara selagi tidak melanggar syariat.
Umat Islam juga diperintahkan supaya bersikap ta’affuf iaitu memelihara diri daripada meminta-minta sebagaimana firman Allah bermaksud: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya oleh orang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak… (al-Baqarah: 273)
Ternyata, Allah menjanjikan ganjaran pahala besar kepada hamba-Nya yang berusaha dan bekerja untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya.
Ini juga dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi bersabda maksudnya: “Dinar (harta) yang kamu belanjakan pada jalan Allah dan dinar kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) serta dinar kamu sedekahkan kepada orang miskin dan dinar kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka paling besar ganjaran pahalanya adalah kamu nafkahkan kepada keluargamu.” – Riwayat Muslim
Sehubungan itu, individu yang suka meminta-minta sedangkan tubuh badan masih sihat, perlu berusaha sedaya upaya untuk mencari pekerjaan.
Ini kerana, hasil yang diperoleh melalui apa jua kemahiran yang ada adalah lebih baik dan mulia daripada bersikap malas atau hanya meminta-minta.










