KUALA LUMPUR – Dua pekerja pencuci bangunan diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat selepas jentera gondola yang digunakan untuk membersihkan bahagian luar sebuah hotel di Persiaran KLCC di sini mengalami kerosakan pagi tadi.
Akibat kerosakan pada gondola yang digunakan itu, salah seorang daripada pekerja berkenaan telah tersangkut di tingkat 33 bangunan hotel tersebut selama kira-kira 20 minit sebelum pasukan penyelamat tiba.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur melalui satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang menimpa kedua-dua lelaki berkenaan sekitar pukul 10.57 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi sebaik dimaklumkan tentang kejadian.
“Turut dikejarkan ke lokasi adalah pasukan bantuan dari BBP Hang Tuah dengan kekuatan lapan anggota bersama satu unit jentera ‘Aerial Ladder Platform’ (ALP),” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mendapati salah seorang mangsa tergantung dengan memakai abah-abah keselamatan (harness) di tingkat 33 manakala mangsa kedua tersangkut di dalam gondola di tingkat satu bangunan hotel berkenaan.
“Mangsa pertama diselamatkan melalui kaedah ascending iaitu menaikkan mangsa ke tingkat 34 yang mempunyai ruang akses.
“Bagi mangsa kedua pula, kami menggunakan ALP dan kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dapat diselamatkan pada jam 11.49 pagi,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, pasukan bomba dimaklumkan bahawa gondola yang digunakan mengalami masalah teknikal sewaktu kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan. – K! ONLINE










