KUANTAN – Seorang peguam wanita mengalami kerugian RM107,500 selepas diperdaya oleh seorang individu yang menawarkan pakej percutian yang tidak wujud ke Korea.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritendan Mohd Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa, 49, telah dihubungi suspek pada bulan Jun lalu yang menawarkan khidmat pengurusan percutian ke Korea untuk 31 individu.
“Mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu telah membuat pembayaran tunai dan memasukkan RM107,500 ke dalam akaun suspek untuk pakej percutian 31 individu.
“Namun apabila tiba tarikh yang dijanjikan baru-baru ini, suspek, 45, telah memberikan pelbagai alasan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, mangsa yang merasa ditipu kemudian telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam. – Bernama










