Pasaran dalam momentum positif - Utusan Malaysia

Pasaran dalam momentum positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Pasaran saham dan kewangan tempatan berge­rak dalam momentum yang lebih positif menjelang akhir tahun ini walaupun indeks FBM KLCI masih berlegar di bawah paras 1,700 mata susulan faktor luaran yang terus menjejaskan pasaran serantau.

Bursa Malaysia yang ditutup petang ini, naik 1.35 mata kepada 1,692.07 mata berbanding semalam, 1690.72 mata. Ia me­nyaksikan 385 kaunter untung manakala 343 kaunter rugi dan 394 kaunter tidak berubah.

Jumlah dagangan bagaima­napun merosot kepada 1.419 bilion saham bernilai RM1,100.2 bilion berbanding semalam 1.607 bilion saham bernilai RM1,210.88 bilion.

Bagi saham-saham syarikat pembinaan berkaitan tol antaranya, Gamuda Berhad ditutup tidak berubah pada RM2.36 sesaham diikuti IJM Corporation naik dua sen kepada RM1.63 sesaham dan Ekovest naik 1.5 sen kepada 45 sesaham susulan pengumuman kerajaan membekukan kenaikan kadar tol pada tahun hadapan.

Mata wang ringgit pula lebih mengukuh pada paras RM4.1550 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup hari ini, berbanding semalam, RM4.1670.

Trading Economics yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, merekodkan pasaran tempatan pernah mencecah paras setinggi 1,895.18 mata pada April 2018 dan mengunjurkan ia boleh bergerak sekitar 1,734.38 mata dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Pada suku pertama tahun hadapan, pasaran tempatan dijangka berada pada paras 1,763 mata manakala 1,749 mata pada suku kedua. Bagi ringgit pula akan berlegar pada RM4.16 berbanding dolar AS pada suku pertama manakala RM4.18 pada suku kedua,” katanya dalam laporan unjuran ekonomi 2018-2020 di laman webnya.

Analisis Trading Economics juga menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.7 peratus pada akhir suku keempat ini berbanding 4.4 peratus pada suku ketiga 2018.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan global tahunan KDNK akan berkembang 4.6 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang. Dalam tempoh jangka masa panjang, pertumbuhan KDNK Malaysia boleh bergerak sekitar 3.6 peratus pada 2020,” katanya.

Dalam pada itu, Maybank IB Research dalam nota kajiannya turut menurunkan unjuran FBM KLCI kepada 1,760 mata berbanding sebelum ini, 1,830 mata pada akhir 2019.

“Ini mengambil kira pertumbuhan global yang perlahan, perang dagangan antara AS dan China, kemerosotan harga mi­nyak dan ketidaktentuan politik di peringkat domestik,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi ringgit pada minggu hadapan, Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata, minggu pertama dagangan pada 2019 akan bermula dengan berhati-hati memandangkan para pelabur masih dibelenggu risiko faktor geopolitik yang meningkatkan sentimen global.

Katanya, perkembangan da­gangan AS dan China yang berterusan, ketidaktentuan Bre­xit, ketegangan risiko politik di Eropah, pertumbuhan global yang perlahan dan kebimba­ngan penutupan sebahagian pentadbiran kerajaan AS akan terus memberi risiko kepada pasaran.

“Di Malaysia pula, para pelabur pastinya tertunggu data terbaharu perdagangan yang dijangka diumumkan pada 4 Januari depan, pastinya akan memberi kesan kepada turun naik ringgit.

“Pada ketika mata wang tempatan mempunyai ruang untuk mengukuh di tengah-tengah data ekonomi domestik yang positif, prospeknya bagaimanapun masih dipengaruhi faktor luaran seperti perkembangan perdagangan global dan prestasi dolar AS,” katanya.

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Emas mencecah paras enam bulan tertinggi pada Jumaat di sebalik kebimbangan pertumbuhan global yang perlahan dan penutupan sebahagian kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Reuters, komoditi itu meningkat 0.5 peratus kepada AS$1,281.08 per auns (RM5310.72) dalam dagangan pagi (0713 GMT) dan merupakan peningkatan kali kedua berturut-turut minggu ini walaupun dibelenggu ketegangan dagangan AS dan China dan ketidaktentuan geopolitik.

Niaga hadapan emas AS pula meningkat 0.2 peratus kepada AS$1,283.2 per auns (RM5,319.51).

Setakat petang ini, emas direkodkan meningkat 0.58 peratus kepada AS$1,276.59 per auns (RM5,292.10).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×