GUA MUSANG 24 Dis. – Seramai 30 daripada 150 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini mengalami penyakit misteri apabila mereka meningkat usia remaja.
Penyakit misteri itu menyebabkan mereka mengalami masalah kulit kering dan bersisik di seluruh tubuh badan.
Penduduk Orang Asli di kawasan itu berkata, mereka tidak mengetahui tentang punca penyakit itu dan mendakwa masalah itu bukan disebabkan keturunan mereka.
Seorang penduduk Orang Asli Kuala Koh, Salim Ping, 32, berkata, dia mendapat penyakit kulit bersisik sejak berumur 14 tahun.
Katanya, pada awalnya dia menyedari penyakit itu selepas kulitnya menjadi gatal dan mengelupas.
“Setiap malam kulit saya yang mengelupas itu mengalami gatal-gatal. Jika saya pulang dari hutan, tidak mandi dan berpeluh, mulalah kulit terasa gatal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Salim berkata, isterinya, Rita Punai, 31, turut mengalami masalah kulit bersisik.
Bagaimanapun, dua orang anaknya yang berumur 12 tahun dan 6 tahun tidak mengalami masalah itu.
“Kami yang hidup secara berpindah-randah untuk mencari rezeki sehingga ke Jerantut, Pahang sudah mendapatkan rawatan di klinik dan doktor hanya memaklumkan kami hanya ada penyakit gatal dan memberi ubat.
“Pegawai perubatan yang datang ke sini hanya melakukan ujian kesihatan dan memberi ubat kepada kami,” katanya.
Salim berkata, Orang Asli yang berketurunan Batek di Kampung Aring 5 pula tidak mengalami masalah penyakit kulit bersisik seperti di kampungnya.










