LABUAN BAJO, Indonesia, Jumlah mangsa terkorban akibat tsunami yang berpunca daripada runtuhan tanah dasar laut sebuah gunung berapi Indonesia meningkat kepada 373 orang semalam.
Anggota-anggota penyelamat berusaha menggunakan tangan dan jentera berat untuk memeriksa di bawah runtuhan bangunan dalam usaha mencari mangsa terselamat.
Agensi meteorologi Indonesia mengesahkan bahawa sebahagian daripada gunung berapi Anak Krakatau yang terletak di antara Pulau Jawa dan Sumatera itu runtuh dan mencetuskan ombak tsunami setinggi 2 hingga 3 meter yang melanda kawasan pantai di Selat Sunda malam Sabtu lalu.
Sekurang-kurangnya 1,400 orang cedera dan hampir 12,000 penduduk di kawasan pantai terpaksa dipindahkan ke kawasan lebih tinggi susulan amaran air pasang dilanjutkan sehingga esok.
Gunung berapi Anak Krakatau memuntahkan debu dan lahar sejak beberapa bulan lalu. Kira-kira 0.64 kilometer persegi kawasan di bahagian barat daya gunung berapi itu telah runtuh.
“Ini membawa kepada runtuhan tanah di dasar laut dan seterusnya tsunami tersebut,” kata ketua agensi meteorologi, Dwikorita Karnawati.
Dalam perkembangan berkaitan, bantuan perlahan tiba di Pandeglang, kawasan paling teruk terjejas dilanda tsunami di barat Pulau Jawa. Beratus-ratus anggota tentera dan sukarelawan memeriksa runtuhan bangunan bagi mencari mayat di kawasan pantai sepanjang 100 kilometer.
Gugusan pulau Indonesia yang terletak di zon Lingkaran Api Pasifik menyaksikan banyak bencana alam berlaku pada tahun ini yang mencatatkan kematian tahunan terbesar sejak lebih 10 tahun lalu.
Sebelum ini, gempa bumi mengakibatkan kemusnahan besar di pulau tumpuan pelancong, Lombok pada Julai dan Ogos lalu, sementara gempa dan tsunami meragut lebih 2,000 nyawa di Pulau Sulawesi, September lalu.
Tsunami terbaru pada malam Sabtu lalu muncul tanpa amaran dan memusnahkan lebih 700 bangunan termasuk kedai kecil, rumah, vila dan hotel. – Reuters










