KUANTAN 26 Dis. – Hanya kerana membayar RM1 untuk sebungkus nasi lemak berbanding harga RM2 yang ditetapkan dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan seorang pemandu bas ekspres dengan pelayan gerai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini awal pagi kelmarin.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan keterangan pelayan gerai itu, nasi lemak di situ dijual RM3 tetapi untuk pemandu bas, lori dan pelanggan tetap, diskaun RM1 diberikan.
‘‘Tetapi, pemandu bas ekspres itu hanya membayar RM1 menyebabkan berlaku pertengkaran seperti video yang tular di laman sosial semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Video kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi yang berdurasi 1 minit 49 saat tular itu memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas ekspres dibelasah sekurang-kurangnya oleh lima lelaki.
Siasatan awal polis mendapati salah faham dan provokasi ketika mangsa membeli makanan di salah sebuah gerai di R&R terbabit sebagai punca kejadian.
Menurut Mohamad Noor, tujuh lelaki berusia 32 hingga 44 tahun direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Tambahnya, kesemua lelaki berkenaan ditahan reman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.










