Najib tiba di SPRM rakam keterangan - Utusan Malaysia

Najib tiba di SPRM rakam keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 6 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai untuk dirakam keterangan berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun ketibaan beliau pada 10.30 pagi tidak disedari petugas media yang menunggu di pintu utama bangunan suruhanjaya itu sehingga kehadiran bekas Menteri Kewangan tersebut dimaklumkan jurucakap SPRM.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut dirakam keterangan semalam oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

SPRM sebelum ini dilaporkan telah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB itu.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suruhanjaya itu juga telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

Sehubungan itu, jelasnya, SPRM akan memanggil beberapa saksi dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berkaitan isu tersebut dalam tempoh terdekat.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dilaporkan mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan Najib.

Madinah dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media pada pukul 1.14 pagi tadi memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN