Mustafar ketuai NFCC bermula Rabu ini - Utusan Malaysia

Mustafar ketuai NFCC bermula Rabu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang berperanan untuk menangani isu pengaliran keluar wang secara haram bermula Rabu ini.

Mustafar, 59, mengumumkan perkara tersebut sewaktu berucap pada majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini sebentar tadi.

Jelasnya, beliau akan memikul jawatan baharunya itu di NFCC yang beribu pejabat di Parcel D di sini bermula 2 Januari ini.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amanah kepada saya untuk memikul jawatan tersebut. Surat pelantikan jawatan itu juga saya terima pada pukul 4 petang tadi. 

“Buat permulaan, saya dilantik sebagai Ketua Eksekutif NFCC. Kewujudan pusat ini telah dinyatakan sebelum ini oleh Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. Ia memerlukan gabung jalin tindakan serta satu rangkaian kerja dengan agensi-agensi lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Amanat dan Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan, NFCC akan ditubuhkan pada pertengahan tahun depan dalam usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.

Abu Kassim menegaskan, isu itu perlu diberi perhatian serius berikutan ia membabitkan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Katanya, penubuhan pusat tersebut akan digerakkan menerusi kaedah pelbagai agensi dengan melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan Bank Negara Malaysia (BNM). – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN