JOHOR BAHRU 7 Dis. – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan Konvensyen Bersatu Negeri Johor di Le Grandeur Palm Resort, Senai dekat sini esok.
Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian berkata, seramai 550 perwakilan dari 26 bahagian seluruh negeri akan hadir yang bermula pukul 8.30 pagi hingga sebelah petang.
“Dalam konvensyen ini kita akan usulkan empat isu iaitu ekonomi, agama, pendidikan dan politik. Penutup akan disempurnakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Kita juga akan menjemput wakil-wakil parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH),” ujar beliau yang juga Menteri Besar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah dan Penyerahan Berkelompok Program Baiti Jannati Negeri Johor 2018 di
Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










