KUALA LUMPUR 21 Dis. – Majlis Profesor Negara (MPN) menyokong usaha untuk mewujudkan akta antilompat parti berhubung tindakan segelintir Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak keluar parti tanpa sebab kukuh.
Presiden MPN, Prof. Dr. Raduan Che Rose berkata, tindakan itu dilihat sebagai tidak beretika kerana mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh pengundi dalam pilihan raya lalu.
“Saya kecewa dan sedih apabila mereka memilih untuk tidak menjadi pembangkang yang baik malah bertindak meninggalkan parti untuk kepentingan diri sendiri.
“Bayangkan kalau Kabinet tidak mempunyai pembangkang yang boleh mempertikaikan tindakan kerajaan untuk kepentingan negara, bagaimana Malaysia ingin berfungsi dengan baik?” katanya dalam sidang akhbar di Balai Ilmuan, MPN di sini hari ini.
Menurut beliau, tindakan untuk keluar beramai-ramai adalah tidak wajar seolah-olah menunjukkan pemimpin politik itu tiada prinsip dan rasa tanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan. – UTUSAN ONLINE.










