SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan lima iltizam baharu parti itu dibawah kepimpinan beliau.
Kata beliau, iltizam pertama UMNO adalah membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.
“UMNO mesti melupakan dahulu hajatnya untuk berkuasa semula. UMNO hanya ada satu sahaja pilihan iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.
“Kita tidak akan merunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak, atau hijack keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan kembali membanjiri dan menyibuk dalam pasukan kerajaan.
“Iltizam baru bagi UMNO adalah menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip. Rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan baru tidak akan dikhianati oleh UMNO,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mohamad berkata, iltizam kedua UMNO adalah membangunkan wibawa parti itu sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani serta menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.
Jelas beliau, UMNO akan memberi alternatif yang baik kepada segala yang dijanjikan oleh kerajaan dan terus menyuarakan pendapat serta menyatakan sebarang kelemahan yang didapati.
Katanya, iltizam ketiga UMNO adalah memerangi politik wang kerana gejala itu yang keji disisi agama, adat dan amalan yang menyebabkan parti tersebut tewas.
Tegasnya, beliau akan membersihkan UMNO dan mana-mana ahli yang tidak mahu bersama dalam perjuangan itu disaran supaya berpindah kepada parti yang boleh memberi habuan.
“UMNO yang baru hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan UMNO,” katanya.
Tambah beliau, iltizam keempat UMNO adalah menjadi ‘a learning political party’ yang menyerap keunggulan intelektual daripada semua pendukungnya termasuk rakyat yang bersedia menyumbang kepada tanah air.
Jelasnya, gerakan UMNO akan berorientasikan data, kajian, ilmu baru, pendekatan termaju dan menjadikan idea sebagai modal politik sekali gus membenarkan berlakunya perubahan generasi.
“Kita tidak akan menjadikan usia sebagai kelebihan mana-mana pemimpin UMNO. Parti ini akan digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini,” ujarnya.
Mohamad seterusnya menggariskan iltizam kelima UMNO iaitu menyemak kembali agenda Melayu parti itu tanpa meminggirkan bangsa lain.
“Melalui semakan semula agenda Melayu ini, UMNO akan ada tawaran baru kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau namun menegaskan usaha membangunkan semula UMNO melalui lima iltizam itu akan mengambil masa, maka ahli UMNO tidak boleh mengharapkan kejayaan yang pantas.
“UMNO memerlukan kecerdasan yang baru dan radikal. Bukan lagi retorik dan slogan kosong. Gejala politik lama yang telah melemahkan UMNO dari dalam harus dihentikan,” katanya. – K! ONLINE










