Misi menjuarai isu rakyat - Utusan Malaysia

Misi menjuarai isu rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Dis. – UMNO di bawah kepemimpinan baharu akan memberi perhatian kepada hala tuju menjadi juara rakyat khususnya dalam usaha membantu mereka menangani pelbagai masalah kehidupan yang dialami ketika ini.

Perkara itu termasuklah menjadi jurucakap yang efektif dan berkesan dalam mendesak kerajaan melakukan perubahan atau membuat sebarang penambahbaikan.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, perkara itu merupakan aspek yang perlu ada dalam memperkukuhkan kedudukan parti dan selari dengan matlamat untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

‘‘Ini bagi menjadikan (UMNO) pembangkang yang berwibawa dan efektif dalam Parlimen juga dalam Dewan Undangan Negeri, UMNO akan membawa tugas dan mengutip apa sahaja isu, masalah rakyat yang terhimpit ketika ini.

‘‘Setelah kita dapat perkasakan parti, dalam masa sama kita juga akan susun atur strategi menang dalam pilihan raya umum nanti,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Khas UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Mohamad, UMNO turut mendesak supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, baru-baru ini.

Jelasnya, perkara itu penting bagi memberi pembelaan se­­a­dil-adilnya kepada Allahyarham dan keluarga.

“Kita merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada Allahyarham Muhammad Adib serta keluarganya selain pada masa sama mendesak supaya RCI ditubuhkan serta tindakan tegas diambil,” katanya.

Selain itu, Mohamad memberitahu, UMNO turut senada dengan pelbagai pihak berhubung pendirian terhadap P. Waytha Moorthy dengan mendesak kerajaan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×