SABAK BERNAM – Hasrat seorang wanita warga emas untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah tidak kesampaian apabila meninggal dunia ketika dalam penerbangan petang semalam.
Khatijah Salleh, 63, berasal dari Parit 6 Timur, di sini dikatakan meninggal dunia pukul 1 petang waktu Malaysia ketika kapal terbang dinaiki melintasi ruang udara Doha, Qatar.
Anak lelaki kelima mangsa, Mohd. Shahrul Abdul Shukor, 34, berkata, kematian ibunya diterima melalui panggilan telefon daripada abang ipar yang turut menyertai rombongan menunaikan umrah tersebut bersama tujuh lagi ahli keluarga mereka.
Katanya, arwah ibunya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan dilaporkan sihat sebelum penerbangan.
“Arwah ibu bersama lapan ahli keluarga lain berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6.30 petang semalam.
“Bagaimanapun, saya terima berita sedih pemergian ibu pukul 1 petang tadi (waktu Malaysia),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Shahrul memberitahu, arwah ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebaliknya amat gembira untuk pergi menunaikan umrah tersebut.
Ujarnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian tersebut.
“Difahamkan jenazah emak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi, Madinah.
“Kami juga akan mengadakan solat jenazah ghaib dan majlis tahlil di kediaman keluarga di Parit 6 Timur, di sini malam ini,” katanya. – K! ONLINE










