KUALA LUMPUR 27 Dis. – Seorang lelaki didenda RM5,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembonceng motosikal tahun lalu.
Mohd. Kamil Mokhtar, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret M. Saravanan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah kereta Naza dengan melulu, membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain dan menyebabkan kecederaan kepada Ng Keh Ying, 17.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Wangsa Maju di sini pada pukul 1.15 petang, 22 November 2017.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan. – UTUSAN ONLINE










