MBM desak Waytha Moorthy letak jawatan - Utusan Malaysia

MBM desak Waytha Moorthy letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy untuk meletakkan jawatannya serta merta.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, Waytha Moorthy jelas gagal melaksanakan tanggungjawab bagi menangani isu perpaduan dalam kalangan masyarakat terutama selepas insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 November lalu.

“MBM berasa amat kecewa dengan tindakan Waytha Moorty yang langsung tidak mengambarkan imej seorang menteri yang memegang portfolio perpaduan.

“Beliau sepatutnya bertanggungjawab memelihara, mengekal dan meningkatkan perhubungan kaum ke arah perpaduan nasional serta mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyatupadukan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MBM di sini hari ini.

Tambah Jufitri, sekiranya Waytha Moorthy masih enggan menyambut desakan tersebut, MBM akan mengadakan satu usaha yang lebih bersepadu memastikannya meletak jawatan.

“Kami akan hantar kenyataan desakan ini ke Pejabat Perdana Menteri supaya Perdana Menteri boleh mengambil tindakan serta merta.

“Namun jika boleh kami meminta Waytha Moorthy sendiri secara terhormat untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Sementara itu juga, beliau menggesa satu pengadilan dan pembelaan yang sewajarnya dan segera oleh kerajaan dan pihak berkuasa berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim kelmarin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN