Mayat lelaki ditemui dengan kesan bakar di tepi jalan di Tanjung Tualang - Utusan Malaysia

Mayat lelaki ditemui dengan kesan bakar di tepi jalan di Tanjung Tualang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Mayat lelaki ditemui dengan kesan bakar di tepi jalan di Jalan Indah 3, Taman Tualang Indang, Tanjung Tualang dekat sini awal pagi ini. 

Mangsa, Chong Wai Choon, 33, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam pada pukul 6 pagi ketika lelaki itu bersama rakannya sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan berhampiran dengan rumahnya.

“Pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kesan terbakar dari kepala hingga ke bahagian peha selain polis turut menjumpai pemetik api dan botol kaca dipercayai mengandungi minyak tanah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Ahmad Adnan, siasatan lanjut mendapati tiada kesan pergelutan dikesan di tempat kejadian. 

“Pemeriksaan luaran badan mangsa juga mendapati tiada kesan kecederaan lain melainkan kesan terbakar sahaja. Unit Anjing K9 juga telah dipanggil dan hasilnya tiada apa-apa penemuan barang kes lain.

“Pihak perubatan yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia antara tempoh lapan hingga 12 jam sebelum ditemui orang awam,” katanya. 

Menurutnya, polis mengesyaki mangsa telah membunuh diri dengan mencurah minyak tanah ke atas kepala dan membakar diri sendiri berdasarkan penemuan pemetik api dan botol minyak tanah tersebut. 

“Mayat dibawa ke Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat,” katanya.  

“Hasil siasatan di tempat kejadian dan pendapat pakar forensik mendapati kes tersebut tiada unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN