SEREMBAN 7 Dis. – Hasrat seorang wanita warga Singapura untuk bercuti di Genting Highlands tidak kesampaian apabila maut selepas tercampak keluar dari bas pesiaran di Kilometer 269.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Serina Mat Idris, 27, tercampak dari tingkat atas bas berkenaan yang merempuh belakang sebuah lori satu tan tanpa muatan di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, ketika kejadian, bas pesiaran itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke pusat peranginan tanah tinggi tersebut.
“Wanita itu yang duduk di kerusi paling hadapan tercampak kira-kira 15 meter dari tempat duduknya dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
‘‘Pemandu bas pula tersepit di tempat pemandu. Tiga penumpang lain masing-masing seorang lelaki dan dua wanita cedera. Kelindan lori turut mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, siasatan awal mendapat kemalangan berlaku apabila lori satu tan itu mengalami kerosakan dan terhenti di lorong ketiga lebuh raya itu.
Menurutnya, bas persiaran yang membawa seramai 20 penumpang itu tidak sempat mengelak lori berkenaan dan melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.










