KUALA LUMPUR 31 Dis. – Walaupun peperiksaan tahap satu akan dimansuhkan, namun faktor fokus pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) baharu yang dikemukakan Kementerian Pendidikan bukanlah perkara baharu sebaliknya sudah sedia ada dalam kurikulum sekarang.
Hal ini menimbulkan tanda tanya, mungkinkah pemansuhan peperiksaan yang dicadangkan sekadar penjenamaan semula yang tidak membawa perbezaan dengan kurikulum sedia ada?
Sehubungan itu, jurucakap Teach For The Needs (TFTN), Mohd. Faiez Mohd. Ali berharap agar Kementerian Pendidikan memberikan penerangan yang lebih lanjut supaya masyarakat dapat memahami aspirasi baharu kerajaan itu.
“Berdasarkan infografik yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, lima fokus digariskan berkenaan pelaksanaan PBD tahap satu iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira, menaakul dan pengamalan nilai rutin harian.
“Kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) telah wujud dalam kurikulum prasekolah dan sekolah rendah, kemahiran menaakul pula dikenali sebagai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) manakala pengamalan nilai rutin harian juga sudah diterapkan dalam subjek seperti Bahasa Melayu, Moral dan Pendidikan Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin baru-baru ini mengumumkan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid tahap satu akan dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksirah Tahap Satu yang lebih berteraskan pelajar.
Menurut beliau, pentaksiran itu akan memperkukuh PBD menggunakan kaedah pembelajaran secara didik hibur (fun learning).
Mengulas lanjut, Mohd. Faiez turut menyuarakan kebimbangan pentaksiran ini akan terus melibatkan pendekatan atas-bawah (top-down) dan birokrasi dokumentasi.
“Maka keputusan penilaian akan dicantikkan di peringkat sekolah untuk tatapan pihak atasan seperti yang dilaporkan berlaku dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) sebelum ini yang mana akhirnya menyebabkan keputusan yang dikeluarkan tidak menggambarkan keadaan sebenar di sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










