Manipulasi dokumen seludup cili Vietnam - Utusan Malaysia

Manipulasi dokumen seludup cili Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Isu kemasukan cili dari Viet­nam yang masih berlaku walaupun sudah diharamkan sejak tiga bulan lalu terjawab apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengakui wujud syarikat pengimport yang bertindak memanipulasi dokumen untuk menyeludup bahan komoditi pertanian tersebut ke negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, modus operandi syarikat terbabit dipercayai dengan melakukan pengisytiharan palsu bagi mengelak kontena yang membawa cili dari Vietnam diperiksa.

T. SUBROMANIAM
T. SUBROMANIAM 

Beliau mengesahkan, pihak­nya berjaya mengesan taktik tersebut dan mengenal pasti dua syarikat yang me­lakukan kesalahan berkenaan.

‘‘Kalau mereka isytihar cili merah dari Vietnam sudah tentu kita akan periksa dan akan panggil Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan).

‘‘Setakat ini, dua syarikat masih dalam siasatan, kemungkinan besar melibatkan pengisytiharan palsu dan bakal dikenakan tindakan tegas jika didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menerusi laporan eksklusifnya mendapati masih wujud lambakan cili merah dari Vietnam yang dijual di pasaran negara secara berleluasa meskipun kerajaan telah menggantung permit import (IP) sejak 14 September lalu.

Pada 22 Ogos lalu, Laporan Khas Utusan Malaysia mendedahkan negara ini menjadi pusat lambakan hasil pertanian eks­port negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain.

Susulan laporan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjalankan pemeriksaan ke atas cili merah Vietnam sebelum didapati gagal ujian Tahap Maksimum Residu (MRL) racun perosak termasuk mengandungi sisa racun diharamkan.

Mengulas lanjut berhubung dua syarikat terlibat, Subromaniam menegaskan, mereka bakal berhadapan tindakan tegas terutama dibatalkan lesen mengimport di bawah Seksyen 90 Akta Kastam 1967.

Katanya, JKDM juga kini giat menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap lori yang membawa produk pertanian dari luar negara menggunakan laluan darat.

‘‘Kalau laluan darat memang kita minta mereka (syarikat pengimport) buka kanvas lori. Itu antara langkah terbaharu kastam ambil selain bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membendung perkara ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN