KOTA BHARU 19 Dis. – Seorang ‘tauke’ getah dari Kuala Krai dekat sini kerugian RM6.7 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam pada Oktober lalu.
Ahli perniagaan berusia 70-an itu telah melakukan lebih 10 transaksi menindahkan wang RM80,000 hingga RM200,000 dalam tempoh sebulan selepas menerima satu panggilan telefon daripada anggota sindiket berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam perbualan telefon tersebut, suspek mendakwa bahawa mangsa tidak menghadirkan diri pada satu kes di mahkamah.
“Mangsa menafikan dakwaan itu, namun pemanggil terbabit terus mengugut dan kononnya menyambungkan panggilan kepada seorang anggota polis yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di selatan tanah air.
“Ahli perniagaan tersebut yang takut kemudian diperdaya sindiket itu sehingga dia melakukan lebih 10 transaksi antara RM80,000 hingga RM200,000 pada satu-satu masa transaksi itu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) antara pemangku Deputi Superintenden Ahmad Arifin dan penyandang yang baharu iaitu Superintenden Ahmad Azizul Mohamed.
Ahmad Azizul yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua JSJK Kelantan menggantikan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud yang bersara wajib pada usia 60 tahun.
Pada majlis sama, 24 anggota disempurnakan pemakaian pangkat terdiri daripada tiga pegawai kanan polis, empat Sarjan Mejar dan 17 Sarjan yang menerima kenaikkan pangkat di seluruh kontinjen Kelantan. – UTUSAN ONLINE










