Lompat parti khianati sokongan rakyat - Utusan Malaysia

Lompat parti khianati sokongan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 16 Dis. – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan tindakan melompat parti yang semakin rancak sejak akhir-akhir ini adalah perbuatan khianat terhadap sokongan rakyat dan parti diwakili mereka.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, mereka sepatutnya tetap mempertahankan prinsip dan perjuangan wadah yang diwakili sama ada ketika senang mahu pun susah.

“Sejak dulu ketika menjadi pembangkang selama dua penggal, walaupun susah dan sukar, kita perlu pertahan prinsip perjuangan dan apabila kita tidak dapat kuasa memerintah, kita boleh jadi ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan.

“Saya rasa perbuatan melompat parti adalah khianat kepada rakyat dan mereka sudah muak dengan cita-cita politik indivdu seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Program Kembali Ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) beramai-ramai melompat masuk dan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Sehingga semalam, seramai 17 Ahli Parlimen UMNO telah mengumumkan keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan dijangka menyertai salah satu parti komponen PH tidak lama lagi.

Ditanya sama ada terdapat permohonan daripada wakil rakyat pembangkang di negeri ini hendak melompat parti dan menyertai PH, Aminuddin memberitahu, pada masa ini tidak ada.

“Hanya bertanya khabar. Tidak perlu dibincangkan jika ia (lompat parti) berlaku di negeri ini kerana keputusan mengenainya akan dibuat oleh kepimpinan PH pusat,” ujarnya.

Untuk rekod, tiga kerusi Parlimen di negeri ini diwakili pembangkang dari UMNO manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai 16 kerusi Barisan Nasional termasuk satu dari MIC daripada keseluruhan 36 kerusi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN