LONDON 22 Dis. – Jaringan Mohamed Salah dan Virgil van Dijk memastikan Liverpool mengukuhkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas menumpaskan Wolverhampton 2-0, sebentar tadi.
Kemenangan itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah Reds dalam 18 saingan liga musim ini, sekali gus membolehkan mereka kekal di puncak menerusi 48 mata.
Liverpool mempamer penguasaan di Stadium Molineux dan tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Salah menyudahkan hantaran Fabinho dengan menolak bola menewaskan Rui Patricio pada minit ke-18.
Jaringan itu membolehkan bintang Mesir tersebut menerajui senarai penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini dengan 11 gol.
Biarpun Liverpool memperlahankan sedikit rentak permainan sebaik sahaja babak kedua disambung, namun mereka tetap mengancam kubu lawan beberapa kali.
Pada minit ke-68, Salah mencipta gerakan menarik untuk menghasilkan gol kedua Reds selepas hantarannya ditolak oleh Van Dijk.
Ini adalah jaringan liga pertama buat Van Dirk, sekali gus memasikan Liverpool kekal di puncak dengan empat mata mengatasi Manchester City.
City bagaimanapun mampu merapatkan jurang jika mengalahkan Crystal Palace, malam ini. – AGENSI










